since the first meet =)

Daisypath Friendship tickers

Hargai Wanita itu :)





Adam dan Maya telah lama melayari gerbang perkahwinan. Adam bekerja di sebuah syarikat berhampiran kawasan perumahan mereka sementara Maya seorang surirumah sepenuh masa. Mereka dikurniakan 4 orang anak yang masih bersekolah.

Adam tidak pernah membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Pernah dia bersungut kerana merasa bosan setiap hari pergi kerja sedangkan Maya hanya tinggal di rumah. Kalau boleh dia mahu isterinya tahu betapa penatnya dia bekerja setiap hari untuk menanggung keluarga.

Pada suatu malam, Adam berdoa,  

"Ya Tuhanku, ketika aku bekerja 8 jam sehari, isteriku hanya tinggal di rumah. Aku mahu dia tahu betapa letihnya aku bekerja. Tolonglah ya Tuhan, tukarkanlah aku dan isteriku. Beri aku sehari menjadi isteri supaya dia dapat merasakan betapa letihnya aku bekerja. Biar aku pula berehat di rumah".

Sesungguhnya Tuhan itu Maha Mengetahui dan mengkabulkan permintaan Adam. Keesokan pagi, dia bangun tidur sebagai seorang isteri. Selepas bangun, dia bergegas ke bilik air, gosok gigi, mandi, solat Subuh dan terus ke dapur menyediakan sarapan untuk suami dan anak-anak. Kemudian dia terpaksa berhadapan kerenah anak-anak yang liat nak bangun pagi.

Akhirnya barulah mengejutkan suaminya yang lena di atas katil. Selepas itu dia menghantar suami ke pintu dan melihat suaminya keluar dari pagar dengan menaiki motorsikal. Kemudian dia kembali membetulkan baju anak-anak yang nak ke sekolah dan menyediakan air sebagai bekal anak-anaknya.

Ketika anak-anak memakai kasut, Maya memanaskan enjin kereta dan terus menghantar anak-anaknya. Maya terpaksa merentasi kesesakan lalu lintas di depan sekolah anak-anaknya. Balik dari sekolah dia terus ke pasar untuk membeli ikan dan keperluan dapur. Selepas dua jam baru dia sampai ke rumah. Simpan barang-barang dapur ke dalam almari dapur dan ikan disimpan dalam peti ais. Maya memungut pula kain-kain baju untuk dicuci dengan mesin. Sementara baju dibasuh, Maya menyapu lantai.

Kemudian dia menjemur kain di ampaian. Lepas tu dia mula memasak untuk anak-anak yang akan balik tengahari nanti. Selesai memasak, dia bergegas mengambil anak-anak dari sekolah. Sampai di rumah, dia menghidangkan makanan kepada mereka. Kemudian menyuruh mereka mandi dan buat kerja sekolah sampai siap kalau mereka nak main petang nanti.




Tiba-tiba dua orang anaknya bergaduh, yang kecil menangis. Terpaksa Maya pujuk supaya tak berlarutan. Kemudian dia mengangkat kain untuk dilipat dan disimpan dalam almari. Kelihatan anak-anaknya sedang rileks menonton Dora The Explorer, Maya bergegas menunaikan solat Zuhur. Kemudian dia memeriksa hasil kerja sekolah anak-anaknya. Selang beberapa minit, azan Asar kedengaran. Maya menunaikan solat Asar.

Kemudian dia menyediakan makan malam. Selepas itu terpaksa melayan kerenah anak-anak yang malas mandi. Lepas Maghrib, dia melayan pula suami dan anak-anak makan. Kemudian terpaksa cuci pinggan mangkuk ketika suami sedang berbaring menonton berita di TV. Baru sahaja 10 minit dia duduk menonton TV, terpaksa pula menguruskan anak-anak masuk tidur.

Dekat pukul 11.00 malam barulah semua kerja rumahnya selesai. Badannya sudah lemah dan perlukan rehat. Opsss belum sampai masanya lagi. Suami juga mahukan layanan mesra. Berdosa isteri kalau tak melayani kemahuan suami. Lebih-lebih lagi malam Jumaat. Maka suami dilayan dengan sebaiknya sehinggalah dia benar-benar terkulai layu langsung tertidur. Maya sendiri tak pasti pukul berapa.

Keesokannya, terjaga dari tidur, Adam berdoa  

"Ya Tuhanku barulah aku tahu. Aku dah tak sanggup lagi jadi isteri. Aku bekerja seharian pun tak penat macam ni. Ada juga masa berehat, minum kopi dan berbual dengan kawan-kawan. Tolonglah kembalikan aku sebagai suami semula. Biarlah isteriku terus di rumah dan aku bekerja."

Tiba-tiba Adam terdengar satu suara ghaib berkata,  

"Wahai Adam, kamu belum boleh menjadi suami semula sebab persetubuhanmu semalam telah menjadi benih. Kamu kena tunggu 9 bulan 10 hari lagi untuk melahirkan anak sebelum kamu dapat menjadi suami kembali..."




Dengan sekuat hati, Adam menjerit,
"Waaaaaaaaaaaaaa... Tak nak! Tak nak! Tak nak!!!!!!"

"Bang... Bang... Abangggg!!!! Kenapa terjerit-jerit ni?"

Sergah satu suara. Adam bangun dari katil dan memegang isterinya sambil bertanya

"Maya, Maya ni suami atau abang yang suami sekarang??"

Sambil ketawa Maya membalas  

"Laaaa... Apa abang nak masuk Raja Lawak ke pagi-pagi buta ni? Tentulah abang suami dan Maya ni isteri."

Hari itu, Adam mengambil MC dan sehari suntuk membantu isterinya membuat kerja rumah. Maya kelu, dia bisu melihat perangai pelik suaminya.

khutbah terakhir Rasulullah :(

Ketika Rasulullah mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah itu ialah:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.
"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.
"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."

Tak kenal maka tak cinta ^.^


Pepatah Melayu ada menyebut - "Tak kenal maka tak Cinta". Ungkapan ini, antara lain membawa maksud, jika kita tidak kenal dengan seseorang bagaimana mungkin kita dapat menzahirkan perasaan cinta terhadapnya. Tidak pernah wujud orang yang bercinta dengan seseorang yang tidak pernah diketahui atau dikenalinya terlebih dahulu.
Tidak hairanlah dalam Islam, perkara pertama yang perlu dititikberatkan sebagai Muslim ialah mengenal Allah atau dalam Bahasa Arabnya berbunyi -Awwaluddin Ma'rifatullah. Sebab itulah, jika dilihat kepada ayat-ayat al-Quran yang terawal diturunkan atau yang juga dipanggil Ayat Makkiyyah (yang diturunkan di Makkah), kebanyakannya menceritakan tentang kebesaran Allah atau aspek-aspek berkaitan akidah yakni keesaan Allah.
Ini kerana pada ketika itu, masyarakat jahiliyyah masih menyembah berhala dan mengamalkan pelbagai amalan khurafat yang lain. Ayat-ayat yang kebanyakannya dimulakan dengan ungkapan 'Ya Ayyhuhannas' ini bertujuan untuk membersihkan jiwa manusia daripada unsur syirik dan khurafat tersebut.
Hanya setelah unsur-unsur jahiliyyah dan syirik tersebut dinyahkan, barulah prinsip-prinsip serta syariat Islam yang lain dapat diterapkan ke dalam diri seorang Muslim.
Jika dilihat pada ayat-ayat Makkiyyah tersebut, tidak dinyatakan tentang persoalan Ibadat seperti Solat, Zakat, Haji dan sebagainya. Ini kerana, persoalan Ibadat yang merupakan manifestasi cinta seseorang hamba kepada Tuhannya hanya akan datang apabila seseorang itu telah mengenal tuhannya atau dalam kata lain - telah jelas dari sudut akidahnya.
Kenal AllahBaru Ibadat
Jika teori ini diambil kira, maka pendekatan dalam berdakwah kepada Non-Muslim kita pada hari ini tidak sepatutnya didahulukan dengan perkara Ibadat. Bagaimana mungkin kita ingin menyuruh Non-Muslim melakukan ibadah jika mereka belum mengenal Allah. Apabila mereka sudah kenal Allah, barulah beransur-ansur akan datang perasaan ingin menunjukkan rasa kasih dan cinta kepadaNya iaitu melalui amal ibadah yang telah disyariatkan.
Begitulah juga cinta kita kepada Rasululluah saw.. Bagaimanakah agaknya cara untuk menzahirkan perasaan cinta kepada Baginda? Sudah tentulah persoalan tersebut hanya dapat dirungkaikan dengan kita terlebih dahulu mengenal Rasulullah saw..
Mengenal Rasulullah saw., antara lain bermaksud kita tahu apa yang Baginda suka dan apa yang Baginda benci atau apa yang Baginda suruh dan apa yang Baginda larang. Jika kita enggan membuat perkara yang Baginda suka atau masih membuat perkara yang Baginda larang, maka kita masih belum cukup kenal, jauh sekali untuk bercinta dengan Baginda saw..
Suami Isteri
Sebagaimana kedaannya sepasang suami isteri yang saling mencintai antara satu sama lain. Si suami akan berusaha membuat apa yang disukai dan meninggalkan apa yang dibenci isterinya sebagai tanda dan bukti cinta yang tidak berbelah bahagi kepada isterinya. Namun, jika si isteri melihat si suami sudah tidak lagi membuat perkara yang disukainya atau membuat perkara yang dibencinya, maka ia seolah menunjukkan cinta dan sayang si suami tadi sudah semakin pudar.
Maka, begitulah juga halnya dengan cinta kita kepada Rasulullah saw.. Tidak sempurna cinta kita kepada Baginda jika kita tidak melaksanakan arahan serta mengamalkan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.
Memperlekeh & Membenci??
Bagaimanakah kita ingin mengatakan kita cintakan Rasulullah jika kitalah orang pertama yang memperlekehkan dakwah Baginda? Bagaimanakah kita ingin katakan yang kita amat menyintai Baginda jikalau kitalah orang yang paling bencikan sunnah dan ajaran Baginda?
Jika Rasulullah saw. tidak pernah melebihkan kaum Arab ke atas kaum yang lain - kerana setiap anak Adam itu sama sahaja di sisi Allah melainkan yang bertaqwa, kita pula membeza-bezakan darjat sesama manusia hanya kerana bangsa dan warna kulit.
Jika Rasullullah saw. menjadikan dakwah Islamiah sebagai agenda hidup-mati Baginda, kita pula hanya menjadikannya kerja-kerja part-time yang bersifat bermusim malah mengharapkan balasan duniawi di sebalik kerja-kerja tersebut. Jika Baginda sanggup menghukum anakanda baginda Fatimah sekiranya beliau mencuri, kita pula lebih suka menyebelahi anak kita meskipun anak kita melakukan kesilapan.
Malah, jika kita seorang yang berpengaruh, kita akan cuba sedaya upaya menggunakan pengaruh dan kuasa untuk memastikan anak kita yang bersalah itu dilindungi atau tidak dihukum. Jika Rasulullah menyuruh kita menjaga batasan pergaulan dan menutup aurat, kitalah orang yang paling gemar mendedahkan aurat dan bergaul bebas tanpa batasan.
Jika Rasulullah menyuruh kita berlaku adil - iaitu memberikan hak kepada mereka yang berhak, kita pula hanya memberikan hak kepada orang yang kita sayangi, yang kita kenali, yang mempunyai persamaan dengan kita, meskipun kekadang mereka tidak berhak! Jika Rasulullah mewasiatkan kita untuk berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan hidup, kita kadangkala tidak ambil pusing akan apa yang terkandung dalam kedua-duanya.
Jika Rasulullah menyuruh kita bercakap benar, kitalah orang yang paling suka membuat spekulasi palsu untuk kepentingan diri. Jika Rasululllah menganjurkan agar kita takutkan kemurkaan Allah lebih dari segala-galanya di atas muka bumi ini, kita pula lebih takutkan sesama manusia, lebih-lebih lagi  jika ia berkait dengan periuk nasi kita.
Jika Rasulullah menyuruh kita mengasihi orang lain sebagaimana kita mengasihi diri kita, kita pula hanya mementingkan diri sendiri. Jika Rasulullah menyuruh kita menunaikan amanah yang telah dimanahkan - lebih-lebih lagi jika ia berkait dengan kepentingan umum, kitalah orang yang paling gemar mengkhianati amanah tersebut.
Berarak Sahaja Tidak Cukup
Nah, jika kita masih melakukan apa yang Rasulullah saw. tidak suka, bagaimana mungkin kita katakan kita sudah cukup kasih akan Baginda. Sesungguhnya, kasihkan Baginda tidak memadai dengan hanya berarak dan berselawat memuji Baginda, tetapi juga menginsafi falsafah diutuskan Baginda kepada kita semua, iaitu tidak lain dan tidak bukan sebagai rahmat sekalian alam.
Moga-moga belum terlewat untuk kita kembali 'menghargai' rahmat yang didatangkan kepada kita melalui pengutusan baginda Rasulullah saw.. Mudah-mudahan dengan cinta dan kasih kita yang tidak berbelah bahagi ini, kita akan beroleh syafaat Baginda di akhirat kelak seterusnya sama-sama menghuni syurga Allah bersama-sama Baginda, para anbiya', solihin dan pejuang-pejuang agama suci ini.
Salam Maulidurrasul - 12 Rabi'ul Awwal 1432 Hijriyyah.

Kisah ahli ibadat dan pelacur

Al-Hasan meriwayatkan, bahawa dahulu ada seorang pelacur yang sangat cantik jelita. Dia tidak mahu melayani orang yang datang kecuali jika dibayar sebanyak seratus dinar.

Secara kebetulan pada suatu hari ada seorang ahli ibadah yang melihat wajah pelacur cantik itu sehingga membuatkan ahli ibadah itu tertarik dan jatuh cinta kepadanya.
 
Kerana lelaki ahli ibadah itu mengetahui, bahawa untuk dapat dilayani oleh pelacur cantik itu orang harus memberinya wang sebanyak seratus dinar, maka lelaki ahli ibadah itu akhirnya pergi mencari pekerjaan untuk mengumpulkan wang sebanyak itu.

Setelah wang sebanyak seratus dinar itu dapat dikumpulkan, dia pun pergi menemui pelacur cantik itu serta berkata kepadanya:

“Kecantikanmu telah membuatkan aku benar-benar tergoda, oleh kerana itu, aku telah berusaha sedaya upayaku untuk mendapatkan wang seratus dinar sebagaimana yang engkau kehendaki itu.”

Wanita pelacur itu berkata: “Silakan masuk ke rumahku.”

Dengan tidak berfikir panjang, ahli ibadah itu langsung masuk ke rumahnya. Di dalam rumah pelacur yang cantik jelita itu ada tersedia sebuah tempat tidur yang dibuat dari emas. Pelacur itu lalu duduk di atas tempat tidurnya dan berkata: “Marilah segera mendekatiku.”

Ketika lelaki ahli ibadah itu bermaksud untuk memuaskan nafsunya, pada waktu itu juga tiba-tiba ia ingat kepada Allah sehingga menggigil seluruh tubuhnya. Kepada wanita pelacur tersebut lelaki ahli ibadah itu berkata:

“Biarlah aku pergi saja meninggalkan kamu dan wang yang jumlahnya seratus dinar itu ambillah olehmu!”

Wanita pelacur itu kembali bertanya: “Apakah sebenarnya yang terjadi atas dirimu, bukankah kamu telah tergila-gila kepadaku sehingga kamu membanting tulang dan mengeluarkan peluh untuk mendapatkan wang sebanyak seratus dinar? Pada saat ini kamu telah mendapatkan apa yang kamu inginkan itu, akan tetapi mengapa kamu akan meninggalkan aku?”

Lelaki ahli ibadah itu berkata: “Sesungguhnya aku takut kepada Allah SWT dan juga atas kedudukanku selama ini di sisi-Nya. Berkemungkinan kerana aku akan pergi meninggalkan kamu, kamu merasa benci kepadaku, ketahuilah olehmu, sesungguhnya aku juga sangat membenci kamu kerana Allah.

Wanita pelacur itu berkata: “Jika yang kamu katakan itu benar, aku tidak akan bersuami kepada orang lain melainkan kamu.”

Lelaki ahli ibadah itu berkata: “Biarlah aku keluar!”

Wanita pelacur itu menjawab: “Tidak, kecuali bila kamu mahu menjadi suamiku.”
“Tidak, biarlah aku keluar dari rumahmu ini!” kata lelaki itu.

Wanita itu kembali bertanya: “Apakah yang membuatmu merasa keberatan bila aku memohon kepadamu supaya engkau mahu menikahi aku?”

Lelaki itu menjawab: “Untuk menjadi isteriku boleh saja, akan tetapi aku harus pergi meninggalkan tempat ini kembali ke tempat biasanya aku melakukan ibadah.”

Selepas berkata demikian, lelaki ahli ibadah itu langsung pergi meninggalkan rumah pelacur tersebut. Begitu juga dengan wanita pelacur itu ia ikut serta keluar dari daerahnya untuk bertaubat kepada Allah dan menyesali segala perbuatan yang telah dilakukannya.
Wanita pelacur itu terus berjalan, hingga akhirnya ia sampai ke tempat asal lelaki ahli ibadah tersebut.

Kepada ahli ibadah tersebut seseorang datang menemuinya dan berkata: “Sesungguhnya permaisurimu telah datang kepadamu.”

Ketika ahli ibadah melihat kedatangan wanita itu, ia terkejut dan langsung terjatuh dalam pelukan wanita pelacur yang cantik jelita itu. Pada waktu itu juga lelaki ahli ibadah tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Melihat keadaan demikian, kepada orang yang hadir wanita pelacur yang telah bertaubat itu bertanya? “Apakah lelaki idamanku yang telah meninggalkanku buat selama-lamanya ini ada mempunyai saudara?”

Orang yang hadir pada waktu itu menjawab: “Ia ada mempunyai seorang saudara lelaki, akan tetapi saudara lelakinya itu hidup dalam keadaan kemiskinan.”

“Jika memang demikian, aku akan menikah dengannya sebagai ganti dari lelaki yang aku cintai ini,” kata wanita itu.

Akhirnya wanita tersebut menikah dengan saudara lelaki ahli ibadah itu dan dari hasil pernikahan tersebut, Allah SWT mengurniakan kepada mereka sebanyak tujuh orang anak